Message from the Chief Minister of
Sarawak
(YAB Datuk Patinggi Tan Sri
(Dr.) Haji Abdul Taib bin Mahmud)
Tahniah saya ucapkan kepada keluarga SMB Methodist yang merayakan Ulang
Tahun Yang Ke-50 ini. Kita
berasa bangga kerana sejak 50 tahun yang lalu, sekolah ini telah
mencipta banyak kejayaan dan melahirkan ramai tokoh dan pemimpin di
Negeri Sarawak. Ini
termasuklah Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Tun Datuk Patinggi
(Dr.) Haji Ahmad Zaidi Edruce Bin Muhammed Noor.
Selain Tuan Yang Terutama, sekolah ini juga telah melahirkan Yang
Berhormat-Yang Berhormat seperti Datuk Wong Soon Koh, Datuk Law Hieng
Ding, Datuk David Teng, Datuk James Masing, Awang Bemee; sekadar
menyebut beberapa nama, dan ahli-ahli korporat yang berjaya yang tidak
terbilang banyaknya.
Jadi, pada hari yang penuh bersejarah ini, kita berdoa agar sekolah ini
akan terus berjaya melahirkan pelajar cemerlang yang akan menjadi
pemimpin masa akan datang. Kita
berdoa agar sekolah ini terus maju dan bersaing untuk mencapai
kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga bidang
bukan akademik.
Kalau kita tidak terus bersaing, kita tidak akan dapat mengejar
kemajuan. Justeru kita akan
jadi mundur. Kita tidak
boleh mundur kerana kita akan menjadi beban kepada orang lain.
Kita akan menjadi beban kepada masyarakat dan beban kepada
kerajaan. Kalau inilah yang
akan berlaku, maka hasrat kerajaan yang bertunjangkan "Politik
Pembangunan", untuk membawa kemajuan kepada rakyat dan masyarakat,
akan lambat tercapai.
Sekolahlah yang boleh membantu kerajaan.
Sekolah boleh membentuk generasi baru yang berketrampilan, yang
mampu menyumbang bukan saja untuk pembangunan diri mereka, tetapi juga
kepada masyarakat dan negara. Dengan
segala kemudahan yang ada, kita berharap hasrat itu dapat dilaksanakan
demi masa depan kita dan generasi yang akan datang.
Bersempena dengan perayaan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada
semua yang telah berjaya melaksanakan peranan masing-masing dalam
membantu kerajaan mencapai pembangunan untuk semua.
Tidak lupa juga saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada
Pengerusi dan Ali Lembaga Pengurus Sekolah yang telah banyak memberi
sumbangan untuk pembangunan dan kemajuan SMB Methodist.
Sekian.
Datuk
Patinggi Tan Sri (Dr.) Haji Abdul Taib Mahmud
The
Chief Minister of Sarawak